I made this widget at MyFlashFetish.com.

Mukjizat al-Quran


SOALAN: Umat Islam dikejutkan dengan fitnah musuh yang disebarkan melalui industri perfileman yang menuduh umat Islam dan al-Quran menganjurkan keganasan. Pelbagai reaksi umat Islam apabila menerima fitnah tersebut. Apakah kita patut mengutuk perbuatan mereka?
- Nasaruddin Sulaiman, Wakaf Baru, Kelantan.

JAWAPAN: Ada pelbagai sikap yang diambil seperti mengutuk mereka dan ada yang memulaukan barangan keluaran negara berkenaan. Ada juga yang mahu mereka yang bertanggungjawab itu dihukum dan lain-lain. Tetapi isu fitnah seperti ini tidak akan tamat, lebih-lebih lagi apabila agama Islam itu mula dikaji dan diterima di negara mereka sendiri. Dalam hal ini Allah s.w.t. pernah memberitahu kita dalam firman-Nya bermaksud: Mereka (musuh Islam) itu sentiasa bercita-cita untuk memadamkan cahaya sinaran petunjuk agama Allah pelbagai cara lagi dengan kata-kata mereka (seperti filem dan lain-lain) tetapi Allah tidak merestui (rancangan mereka) melainkan Allah tetap akan menyempurnakan cahaya petunjuk-Nya meskipun tanpa kerelaan mereka (surah as-Saf ayat 8).

Ini kerana ajaran Islam adalah satu-satunya ajaran di dunia yang sesuai dengan kejadian manusia yang berakal setelah ajaran nabi-nabi lain diubah suai oleh manusia sehingga keesaan Allah disekutukan dengan yang lain. Sedangkan asas ajaran agama langit itu adalah berpaksikan keesaan (mentauhidkan) Allah s.w.t. tanpa sekutu pada-Nya. Yang mana hak-Nya terhadap hamba-Nya adalah yang satu iaitu menyembah-Nya tanpa menyekutukan-Nya dengan yang lain, dan bila hamba dapat menunaikan hak-Nya itu, Allah akan menunaikan hak hamba-Nya pula iaitu tidak akan menyeksa mana-mana hamba yang menyembah-Nya dan tidak menyekutukan-Nya dengan yang lain.
Ini ditegaskan dalam sabda Rasullullah s.a.w. yang bertanya kepada Abi Zar RA.bermaksud: Adakah kamu tahu hak Allah ke atas hamba-Nya dan hak hamba ke atas Tuhannya. Jawab Abu Zar: "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui."

Sabdanya: Adapun hak Allah ke atas hamba-Nya itu ialah menyembah-Nya tanpa menyekutukan-Nya dengan yang lain sedikitpun manakala hak hamba kepada-Nya pula ialah tidak akan mengazabkannya selama-lama sedikitpun.

Ibnu Umar pernah menceritakan mengenai perbandingan kejayaan peranan agama Islam dengan agama lain daripada mereka yang sebelum kamu hanyalah perbezaan yang sedikit, iaitu tempoh yang ada antara solat asar dan maghrib. Kerana ahli Taurat yang diberikan Taurat itu hanya dapat beramal dengan kitab mereka (taurah) setakat tengah hari kemudian mereka tinggalkan kerjanya lantaran ingkar dan berselisih sampai mengubahnya, mereka diberikan balasan hanya separuh dari ganjaran sepatutnya. Begitu juga ahli kitab yang diberikan Injil, mereka hanya dapat beramal dengannya separuh jalan iaitu sampai waktu asar.
Mereka juga mendapat separuh ganjaran pahala sahaja (sampai asar). Tetapi umat Islam yang dikurniakan al-Quran dapat beramal dengan ajarannya sampai tamat tempoh. Maka kita sahaja yang diberikan ganjaran penuh lalu pada hari pembalasan nanti mereka (ahli kitab Taurat dan Injil) akan persoalkan bagaimana kami diberikan pahala yang kurang sedangkan kami bekerja lebih kuat daripada mereka (lebih separuh hari).

Lalu firman Allah: Adakah Kami menzalimi kamu? Jawab mereka tidak juga! Firman Allah: Itulah limpah kemurahan-Ku yang Aku kurniakan sesiapa yang Aku sukai (hadis riwayat Bukhari).
Kelebihan ini bukan kerana pilih kasih dari Allah mengazabkan mereka dan mengurniakan balasan pahala yang besar kepada umat Islam. Allah berfirman yang bermaksud: berkata orang Yahudi dan Kristian kami ini adalah anak Tuhan dan kesayangan-Nya katakan kenapa Allah menyeksa kamu dengan sebab dosa-dosa kamu malahan kamu juga adalah kejadian dari manusia biasa (seperti kami juga) Allah akan mengampuni mereka yang dikehendaki-Nya dan menyeksa siapa yang dikehendaki-Nya (al-Maidah 18).

Inilah kanun dan sunah Allah yang tidak akan berubah-ubah. Dari sinilah dapat difahami bahawa kemuliaan satu-satu umat itu bergantung dengan ajaran risalahnya. Kemuliaan tersebut akan berada bersamanya selama mana kepatuhannya tidak berbelah bagi dan ikhlas terhadapnya. Buktinya mereka dapat menghafaz dan mempertahankan al-Quran. Dan ia tidak pernah berubah. Inilah sebabnya kekebalan wahyu Ilahi dan kesuciannya dapat kita lihat sampai hari ini.
Wallahualam.

0 comments


 
|  Suara Minbar Online. Blogger Template By Lawnydesignz Powered by Blogger