I made this widget at MyFlashFetish.com.

Keutamaan Membaca Al-Quran


(Petikan dari 'Keagungan Kitab Al-Quran dan Peminatnya')
oleh Ustaz Abdullah Al-Qari bin Haji Salleh.
1.Ibadat yang paling utama dari segi bacaan, manakala sembahyang sebesar ibadat dari segi gerak laku atau perbuatan.
2.Pahala membaca Al-Quran:1 huruf 10 kebajikan, dan menurut Ibnu Majah diganda sampai 400 dan menurut Ibnu Al Jauzi diganda 700 kali
3.Balasan satu huruf yang dibaca ialah bidadari di syurga
4.Juga dikatakan balasan sebatang pokok di syurga
5.Pahala membaca satu huruf al-Quran :Dalam sembahyang - 100 kebajikan Diluar sembahyang berwudhuk 50 kebajikan Tanpa wudhuk - 10 kebajikan
6.Pembaca al-Quran adalah hartawan dan pahala membaca tidak akan putus (mengikut Ibnu Abbas).
7.Untuk selamat daripada api neraka
8.Mendapat kedudukan yang tinggi dan mulia bersama Malaikat.
9.Di hari kiamat, al-Quran menjadi pembela
10.Pembaca akan memperolehi keamanan
11.Membaca sebelum tidur akan mendapat kawalan Malaikat.
12.Pembaca dimasukkan ke dalam golongan Siddiqi
Wallahu a'laam.

Al-Quran Kekasih Istimewa


Al-Quran itu KeKasih…

Al- Quran itu seumpama kekasih.Mungkin itulah tamsilan mudah untuk menerangkan perkaitan Al-Quran dalam kehidupan kita seharian. Ternyata,apabila sesuatu itu menjadi kekasih hati kita, maka pelbagai cara kita menzahirkan rasa cinta yang begitu mendalam apa bentuk dan cara sekalipun. Dan sememangnya jika kita bercinta dengan sesuatu itu mengharap cinta kita tidak bertepuk sebelah tangan! Dari itu, marilah kita merenung sejauh mana hati kita benar-benar mencintai Al-Quran, kalam Allah Yang Maha Agung.

1. Kekasih yang terlalu istimewa
---------------------------------------
Sekeping warkah daripada orang yang kita cintai, pasti akan ditatap sepuas-puasnya malah berulang kali dibaca. Namun, hakikatnya akan timbul juga rasa jemu kelak. Tidakkah ia hanya sekadar bahasa yang tidak memiliki sebarang keistemewaan? Berbanding Al-Quran, biarpun kita membacanya berulangkali, tidak sedikit pun kita akan merasa jemu apatah lagi membencinya.

Allah berfirman ; "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan 'zikrullah'. Ketahuilah dengan 'zikrullah' itu, tenang tenteramlah hati manusia" ( Surah Ar-Rad:28 )

Malah dijanjikan oleh Allah sesiapa yang ikhlas mengharap keredhaan Allah dengan memperbanyak zikrullah (mengingati Allah) maka dia akan memperolehi ketenangan yang membahagiakan. Dan zikrullah yang paling afdal (terbaik) itu ialah membaca Al-Quran. Seterusnya Allah SWT juga menyatakan keistemewaan kekasih ini iaitu Allah SWT menurunkan dengan sebaik-baiknya perkataan sebagai firman-Nya dalam surah az-Zumar, ayat 23:
"Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandugannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang keterangannya, dengan pelbagai cara);yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya);dan(ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya".

2. Kekasih yang perlu dimuliakan
----------------------------------------

Al-Quran juga merupakan kekasih yang perlu dimuliakan kerana sifatnya yang berkat dan banyak manfaatnya. Dengan itu Allah telah menyeru kita agar mematuhi kandungan kekasih itu kerana dengan itu kita akan memperolehi keberkatan daripada-Nya. Firman Allah bermaksud ; "Dan ini sebuah kitab (al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya; dan bertakwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat." ( Surah Al-An'am :155 )

Malah Allah juga menggariskan adab-adab bagaimana memuliakan kekasih kita ini. Antaranya ialah apabila kita mendengar bacaan al-Quran, maka kita perlu mendengar dan berdiam diri, sebagaimana ingatan Allah dalam surah al-A'raf, ayat 204, maksudnya: "Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat".

3. Kekasih yang setia
-------------------------

Kesetiaan dalam percintaan adalah jaminan kebahagiaan hati. Begitulah juga seandainya kita menjalinkan cinta bersama al-Quran. Namun begitu, orang yang bercinta dengan al-Quran akan sentiasa mengukur kesetiaan dirinya terhadap al-Quran.Lalu apakah ukurannya? Bukankah qiamullail itu adalah satu pengukur yang paling relevan? Ini kerana kesukaran untuk menunaikan ibadah pada malam hari dengan tidur yang sedikit itu menggambarkan pengorbanan.

Maksud firman Allah : "Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Antaranya ada golongan yang telah (memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada Agama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (al-Quran) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan sembahyang). Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat. Segala pekara yang baik, dan melarang daripada segala pekara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh". (Surah Ali Imran, ayat 113-114)

Malah at-Tabrani meriwayatkan daripada Sahl bin Sa'ad r.a daripada Rasulullah s.a.w, sabda baginda ; "Kemuliaan seorang Mukmin ialah qiamullail (bangun pada waktu malam untuk beribadat)." Baginda juga menceritakan tentang kelebihan dan ganjaran yang diperolehi seseorang yang berqiamullail dan membaca al-Quran. Sabda Baginda: "Sesiapa yang melakukan qiamullail dengan membaca sepuluh ayat, dia tidak tertulis daripada kalangan orang-orang yang lalai. Sesiapa yang melakukan qiamullail dengan membaca seratus ayat akan ditulis daripada kalangan orang yang beribadat. Sesiapa yang melakukan qiamullail dengan membaca seribu ayat akan ditulis daripada kalangan orang yang berlaku adil." (Riwayat Abu Daud)

4. Kekasih yang perlu dibelai sentiasa
----------------------------------------------

Kekasih yang perlukan belaian bermaksud kita perlu menjaganya dan sentiasa mendampinginya. Dari itu, Rasulullah s.a.w sering memberi amaran dan memerintahkan agar umatnya menjaga al-Quran dan tidak melupakannya. Daripada Anas bin Malik r.a katanya, Rasulullah bersabda: "Di bentangkan kepadaku pahala umatku, sehingga pahala hasil perbuatan seseorang yang membuang kotoran daripada masjid. Dibentangkan juga kepadaku dosa-dosa umatku. Aku tidak dapati dosa yang lebih besar daripada satu surah atau satu ayat yang dikurniakan kepada seseorang kemudian dia melupakan." (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

Selain itu, kita membelai kekasih ini dengan sifat kita berlumba-lumba untuk membacanya pagi dan malam malah berasa iri hati dengan "kegilaan" orang lain membaca Kalamullah itu.

Dari Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Hasad (iri hati) itu tidak dibenarkan melainkan dua pekara, seseorang yang dirahmati Allah dengan bacaan al-Quran dan terus berada dalam keadaan demikian siang dan malam dan seorang lagi yang dilimpahkan dengan harta yang banyak oleh Allah dan dia membelanjakannya siang dan malam".

Hasad dan iri hati semestinya dilarang oleh Allah. Bagaimanapun ulama mentafsirkan hasad di sini sebagai 'ghitbah' yang dimaksudkan sifat ingin berlumba-lumba. Sifat ini menggambarkan keinginan memperolehi sesuatu sama seperti orang itu dan berlumba-lumba untuk lebih terhadapan dalam beramal. Semoga kita akan terus konsisten atau beramal secara berterusan untuk menjaga hubungan baik kita bersama al-Quran.

Bukankah dia kekasih yang membahagiakan?

Mukjizat al-Quran


SOALAN: Umat Islam dikejutkan dengan fitnah musuh yang disebarkan melalui industri perfileman yang menuduh umat Islam dan al-Quran menganjurkan keganasan. Pelbagai reaksi umat Islam apabila menerima fitnah tersebut. Apakah kita patut mengutuk perbuatan mereka?
- Nasaruddin Sulaiman, Wakaf Baru, Kelantan.

JAWAPAN: Ada pelbagai sikap yang diambil seperti mengutuk mereka dan ada yang memulaukan barangan keluaran negara berkenaan. Ada juga yang mahu mereka yang bertanggungjawab itu dihukum dan lain-lain. Tetapi isu fitnah seperti ini tidak akan tamat, lebih-lebih lagi apabila agama Islam itu mula dikaji dan diterima di negara mereka sendiri. Dalam hal ini Allah s.w.t. pernah memberitahu kita dalam firman-Nya bermaksud: Mereka (musuh Islam) itu sentiasa bercita-cita untuk memadamkan cahaya sinaran petunjuk agama Allah pelbagai cara lagi dengan kata-kata mereka (seperti filem dan lain-lain) tetapi Allah tidak merestui (rancangan mereka) melainkan Allah tetap akan menyempurnakan cahaya petunjuk-Nya meskipun tanpa kerelaan mereka (surah as-Saf ayat 8).

Ini kerana ajaran Islam adalah satu-satunya ajaran di dunia yang sesuai dengan kejadian manusia yang berakal setelah ajaran nabi-nabi lain diubah suai oleh manusia sehingga keesaan Allah disekutukan dengan yang lain. Sedangkan asas ajaran agama langit itu adalah berpaksikan keesaan (mentauhidkan) Allah s.w.t. tanpa sekutu pada-Nya. Yang mana hak-Nya terhadap hamba-Nya adalah yang satu iaitu menyembah-Nya tanpa menyekutukan-Nya dengan yang lain, dan bila hamba dapat menunaikan hak-Nya itu, Allah akan menunaikan hak hamba-Nya pula iaitu tidak akan menyeksa mana-mana hamba yang menyembah-Nya dan tidak menyekutukan-Nya dengan yang lain.
Ini ditegaskan dalam sabda Rasullullah s.a.w. yang bertanya kepada Abi Zar RA.bermaksud: Adakah kamu tahu hak Allah ke atas hamba-Nya dan hak hamba ke atas Tuhannya. Jawab Abu Zar: "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui."

Sabdanya: Adapun hak Allah ke atas hamba-Nya itu ialah menyembah-Nya tanpa menyekutukan-Nya dengan yang lain sedikitpun manakala hak hamba kepada-Nya pula ialah tidak akan mengazabkannya selama-lama sedikitpun.

Ibnu Umar pernah menceritakan mengenai perbandingan kejayaan peranan agama Islam dengan agama lain daripada mereka yang sebelum kamu hanyalah perbezaan yang sedikit, iaitu tempoh yang ada antara solat asar dan maghrib. Kerana ahli Taurat yang diberikan Taurat itu hanya dapat beramal dengan kitab mereka (taurah) setakat tengah hari kemudian mereka tinggalkan kerjanya lantaran ingkar dan berselisih sampai mengubahnya, mereka diberikan balasan hanya separuh dari ganjaran sepatutnya. Begitu juga ahli kitab yang diberikan Injil, mereka hanya dapat beramal dengannya separuh jalan iaitu sampai waktu asar.
Mereka juga mendapat separuh ganjaran pahala sahaja (sampai asar). Tetapi umat Islam yang dikurniakan al-Quran dapat beramal dengan ajarannya sampai tamat tempoh. Maka kita sahaja yang diberikan ganjaran penuh lalu pada hari pembalasan nanti mereka (ahli kitab Taurat dan Injil) akan persoalkan bagaimana kami diberikan pahala yang kurang sedangkan kami bekerja lebih kuat daripada mereka (lebih separuh hari).

Lalu firman Allah: Adakah Kami menzalimi kamu? Jawab mereka tidak juga! Firman Allah: Itulah limpah kemurahan-Ku yang Aku kurniakan sesiapa yang Aku sukai (hadis riwayat Bukhari).
Kelebihan ini bukan kerana pilih kasih dari Allah mengazabkan mereka dan mengurniakan balasan pahala yang besar kepada umat Islam. Allah berfirman yang bermaksud: berkata orang Yahudi dan Kristian kami ini adalah anak Tuhan dan kesayangan-Nya katakan kenapa Allah menyeksa kamu dengan sebab dosa-dosa kamu malahan kamu juga adalah kejadian dari manusia biasa (seperti kami juga) Allah akan mengampuni mereka yang dikehendaki-Nya dan menyeksa siapa yang dikehendaki-Nya (al-Maidah 18).

Inilah kanun dan sunah Allah yang tidak akan berubah-ubah. Dari sinilah dapat difahami bahawa kemuliaan satu-satu umat itu bergantung dengan ajaran risalahnya. Kemuliaan tersebut akan berada bersamanya selama mana kepatuhannya tidak berbelah bagi dan ikhlas terhadapnya. Buktinya mereka dapat menghafaz dan mempertahankan al-Quran. Dan ia tidak pernah berubah. Inilah sebabnya kekebalan wahyu Ilahi dan kesuciannya dapat kita lihat sampai hari ini.
Wallahualam.

Hukum Memberi Salam dan Menjawab Salam Orang Bukan Islam


Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis daripada Abi Hurairah bahawa Rasulullah saw bersabda:

لا تبدأوا اليهود ولا النصارى بالسلام فإذا لقيتم أحدهم في طريق فاضطروه إلى أضيقه


Maksudnya: “Janganlah kamu mulakan orang-orang Yahudi dan juga orang Nasrani dengan salam.

Justeru itu, sekiranya kamu menemui seseorang mereka di jalan tolaklah mereka ke jalan yang paling sempit.Ulama berbeza pendapat dalam menyelusuri fiqh (kefahaman) hadis ini. Kebanyakan mereka memutuskan bahawa haram memulakan ucapan salam kepada mereka. Sebahagian pula berkata ianya tidak haram tetapi makruh.

Seorang fuqaha iaitu Abu Sa`ad berpendapat, sekiranya seorang muslim ingin memberi ucapan hormat kepada bukan Islam dia boleh melakukannya dengan lafaz yang lain daripada lafaz salam.

Contohnya dengan menyebut: (هداك الله ) maksudnya moga Allah memberi hidayah kepada kamu atau (أنعم الله صباحك) maksudnya moga Allah memberi anugerah di waktu pagimu ini. Imam Nawawi menyetujui pendapat ini tetapi dengan tambahan: sekiranya ianya diperlu. Antara contoh ucapannya bagi Imam Nawawi ialah ucapan selamat pagi, pagi yang bahagia, pagi yang baik, moga Allah kurniakan kamu dengan kebahagian di waktu pagi, atau nikmat di waktu pagi dan seumpamanya. Sekiranya tidak perlu maka pilihannya ialah jangan mengucapkan apa-apa. (Nawawi, al-Azkar, Dar al-Khayr, hlm. 311)

Pandangan ini bagi saya sesuai diamalkan oleh umat Islam di Malaysia pada hari ini. Mereka boleh menyatakan selamat pagi kepada bukan Islam tanda penghormatan, atau berdoa moga Allah bagi hidayah atau seumpamanya. Ucapan-ucapan ini boleh mendekatkan mereka dengan bukan Islam sebagai satu pendekatan dakwah.Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadis daripada Anas bin Malik katanya, Rasulullah saw bersabda:إذا سلم عليكم أهل الكتاب فقولوا وعليكم

Maksudnya: “Apabila kamu diberi salam oleh ahli Kitab, jawablah “wa`alaikum”.Imam Bukhari pula meriwayatkan daripada Ibn `Umar –radiyallahu `anhuma- katanya; Rasulullah saw bersabda:إذا سلم عليكم اليهود فإنما يقول أحدهم السام عليك فقل وعليك

Maksudnya: “Apabila kamu diberi salam oleh Yahudi, mereka hanya menyatakan Assaamu `alaikum (mampuslah kamu), maka jawablah: wa `alaik (dank e atas kamu juga).Daripada kedua-dua hadis diatas para fuqaha mengambil hokum apabila seorang muslim diberi salam oleh bukan Islam, jawapan yang diberi ialah wa `alaik atau wa `alaikum (dan ke atas kamu juga).

Imam Mawardi menghikayatkan satu wajah di kalangan ashab Syafie iaitu harus memulakan salam kepada bukan Islam dengan menyebut Assalamu `Alaik sahaja bukannya Assalamu `Alaikum. Begitu juga boleh menjawab salam mereka dengan Wa `Alaikum Salam, tapi tidak menyebut warahmatullah. Imam Nawawi menegaskan bahawa kedua-dua pendapat ini adalah janggal dan ditolak. (Nawawi, al-Azkar, Dar al-Khayr, hlm. 311)

Kesimpulan perbahasan di atas ialah ucapan salam adalah ucapan khusus untuk umat islam. Justeru, untuk bukan Islam tidak perlu digunakan lafaz salam tetapi boleh digunakan lafaz-lafaz penghormatan yang lain.

Amalan-amalan baik tapi terbalik


Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain.

Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-

1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka.Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap Assalamu'alaikum berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula Assalamu'alaikum tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.

8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan.Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah.Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.

Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita. Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita.

 
|  Suara Minbar Online. Blogger Template By Lawnydesignz Powered by Blogger